Home > Pengajian Malaysia > Prosedur Perundangan

Prosedur Perundangan

Sesuatu rang undang-undang akan melalui satu prosedur perundangan sebelum diluluskan dan digunapakai. Kegagalan untuk mengikuti prosedur ini boleh menyebabkan sesuatu undang-undang itu dibatalkan oleh pihak mahkamah atas alasan gagal mengikuti prosedur. Secara amnya, langkah-langkah yang perlu dilalui sesuatu rang adalah seperti berikut:

Peringkat Pra-Parlimen

(Bergantung kepada sukatan pelajaran anda, peringkat pra-Parlimen tidak semestinya dimuatkan. Namun maklumat ini berguna sebagai maklumat tambahan.)

Kabinet

Lazimnya sesuatu rang akan bermula dengan sebuah dasar yang diusulkan kepada Kabinet atau Jemaah Menteri. Ianya boleh bermula dengan cadangan mudah daripada pihak Kementerian atau dengan mengambil kira kepentingan dan keperluan negara oleh Jemaah Menteri.

Seterusnya, sebuah kajian akan dilaksanakan. Apabila Kabinet telah menyokong sebuah inisiatif undang-undang perlu diusulkan ke Parlimen, Jemaah Menteri akan mengarahkan Pejabat Peguam Negara untuk merangka sebuah rang undang-undang.

Pejabat Peguam Negara

Pejabat Peguam Negara (Bahagian Gubalan) akan merangka sebuah draf atau rang. Selepas itu, rang itu diserahkan kepada Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan. Jika tiada perubahan, Menteri berkenaan akan mengusulkan rang undang-undang baru ini kepada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Peringkat Dewan Parlimen

Rang undang-undang boleh diperkenalkan di dalam mana-mana Dewan Parlimen oleh mana-mana ahlinya. Namun secara praktiknya, rang undang-undang biasanya diperkenalkan Menteri atau Timbalan Menteri di dalam Dewan Rakyat.

Bacaan Pertama

Bacaan Pertama merupakan pengenalan sebuah rang undang-undang. Di sini, tajuk panjang (long title) rang berkenaan dibaca ahli yang mengusul. Ahli berkenaan akan memberi hujah kenapa perlu adanya rang undang-undang sedemikian rupa.

Tiada undian dibuat ke atas rang di peringkat Bacaan Pertama.

Bacaan Kedua

Pada Bacaan Kedua, rang undang-undang ini akan dibahas secara dasarnya oleh ahli-ahli Dewan. Selepas sesi perbahasan Bacaan Kedua, Yang DiPertua Dewan Rakyat (Speaker) jika di Dewan Rakyat atau Yang DiPertua Dewan Negara (President) jika di Dewan Negara, akan memanggil undian daripada ahli dewan yang hadir.

Jika diluluskan oleh ahli-ahli Dewan berkenaan, rang tersebut akan dijadualkan untuk ke Peringkat Jawatankuasa.

Peringkat Jawatankuasa

Dewan Rakyat atau Dewan Negara akan bersidang sebagai Jawatankuasa Seluruh Dewan (Committee of the Whole House).

Di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat yang mana sistem perundangnya lebih kompleks, Dewan Perwakilan (House of Representatives) dan Dewan Senat (Senate) masing-masing mempunyai jawatankuasa-jawatankuasa tetap untuk sesatu bidang. Contohnya Jawatankuasa Belanjawan (Dewan Perwakilan) dan Jawatankuasa Pertanian, Nutrisi dan Perhutanan (Dewan Senat). Semasa sesuatu rang dipertimbangkan, pakar-pakar industri serta mereka yang berkepentingan dari semua sektor akan dipanggil oleh jawatankuasa berkenaan untuk memberi keterangan.

Sama ada Parlimen Malaysia ataupun Kongres Amerika Syarikat, sesuatu rang undang-undang di peringkat Jawatankuasa perlu diluluskan jawatankuasa berkenaan sebelum di bawa ke Bacaan Ketiga.

Bacaan Ketiga

Rasional Bacaan Ketiga adalah untuk memberi peluang kepada ahli-ahli Dewan yang bukan anggota Jawatankuasa berkenaan untuk membahaskan rang undang-undang secara terperinci. Bacaan ketiga juga merupakan peluang terakhir kepada Dewan untuk membuat sebarang pindaan khusus sebelum rang ini dihantar ke Dewan seterusnya.

Setelah tamatnya tempoh perbahasan yang ditetapkan, rang ini akan diundi buat kali terakhir oleh Dewan. Jika ianya diluluskan, rang tersebut akan dihantar ke Dewan seterusnya.

Dewan Kedua

Jika rang tersebut diusul di Dewan Rakyat, maka dewan kedua adalah Dewan Negara. Jika rang berkenaan diperkenalkan di Dewan Negara, maka dewan kedua merupaka Dewan Rakyat.

Di Dewan kedua, rang undang-undang berkenaan akan melalui proses yang sama: Bacaan Pertama, Bacaan Kedua, Peringkat Jawatankuasa dan Bacaan Ketiga.

Terdapat 3 senario yang mungkin berlaku di Dewan kedua:

  1. Dewan Kedua meluluskan rang tanpa apa-apa perubahan: Rang akan dipersembahkan kepad Yang DiPertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda;
  2. Dewan Kedua meluluskan dengan pindaan: Rang akan dikembalikan kepada Dewan Pertama untuk dinilai. Rang tersebut akan hanya dipersembahkan kepada YDPA apabila kedua-dua dewan mendapat kata sepakat;
  3. Dewan Kedua tidak meluluskan rang: Rang tersebut gagal. Dewan Rakyat boleh menggunakan kaedah yang termaktub di dalam Perkara 68, Perlembagaan Persekutuan, untuk “mengenepikan” Dewan Negara.

Apabila mempertimbangkan rang undang-undang kewangan, Dewan Rakyat mempunyai kuasa monopoli untuk memperkenalkan rang berkenaan.

Peringkat Pasca-Dewan Parlimen

Istana Negara

Selepas diluluskan Dewan Parlimen, sesuatu rang wajib mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong. Baginda perlu memperkenan dalam masa 30 hari dari tarikh rang itu dipersembahkan kepada baginda. Sungguhpun baginda gagal memberi perkenan baginda dalam tempoh berkenaan, rang tersebut akan dianggap telah diperkenan.

Warta Kerajaan

Sebelum sesuatu rang boleh dikuatkuasakan, ianya perlu diwartakan.

Categories: Pengajian Malaysia
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: